
SHAH ALAM, 26 OGOS: Tiada pengumuman barisan Kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Perkara berkenaan dimaklumkan dalam pesanan ringkas Pejabat Perdana Menteri menerusi WhatsApp kepada media, lapor Bernama.
Ismail Sabri hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Abdulaziz, di Kuantan dipercayai bagi mempersembahkan cadangan senarai nama menteri Kabinet.
Beliau dilihat memasuki perkarangan istana pada jam 10.53 pagi dengan diiringi oleh tiga kenderaan lain dan kawalan polis trafik.
Kenderaan dinaiki beliau beredar dari istana pada jam 1.38 tengah hari dan Ismail Sabri sempat melambaikan tangan kepada wartawan dan jurufoto yang menanti di laluan utama ke Istana Abdulaziz.
Turut bersama perdana menteri ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
The post Tiada pengumuman barisan Kabinet hari ini – Pejabat PM appeared first on Selangorkini.

