Sultan Selangor seru rakyat segera ambil vaksin, kembalikan kehidupan normal

30 Aug 2021 • 7:09 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 30 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru rakyat segera mengambil vaksin supaya kehidupan normal mampu dikembalikan seperti mana negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mahu rakyat tidak mementingkan diri dengan menolak pemberian suntikan pelalian yang boleh menjejaskan sasaran negara mencapai imuniti kelompok.

“Baginda ingin mengingatkan kepada rakyat jelata agar terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dan segera mengambil suntikan vaksin Covid-19 masing-masing.

“Dengan menjiwai semangat merdeka dan patriotisme, baginda mahu sekalian rakyat tidak bersifat mementingkan diri menolak pemberian vaksin Covid-19 yang boleh menjejaskan sasaran negara untuk mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat seterusnya mengembalikan kehidupan rakyat seperti sediakala,” titah baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin juga menyeru setiap rakyat menghayati erti kemerdekaan sebenar di samping menghargai perjuangan tokoh terdahulu dalam mencapai kemerdekaan negara.

Baginda mahu penghargaan sama ditujukan kepada petugas barisan hadapan yang sedang berjuang merawat dan menguruskan wabak Covid-19 ketika ini.

“Baginda menzahirkan penghargaan khususnya kakitangan hospital serta pihak yang terbabit secara langsung seperti pengurusan jenazah dan pengebumian.

“Baginda amat berterima kasih dan terharu dengan pengorbanan petugas ini dan mendoakan urusan mereka dipermudahkan serta sentiasa diberi kekuatan untuk berkhidmat demi kesejahteraan rakyat jelata,” titah baginda.

Di kesempatan, baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Kemerdekaan ke-64 kepada seluruh rakyat Malaysia.

The post Sultan Selangor seru rakyat segera ambil vaksin, kembalikan kehidupan normal appeared first on Selangorkini.