Akhirnya Filem Bond Terbaharu Akan Ditayangkan!

EntertainmentMovie
23 Aug 2021 • 2:46 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Filem James Bond yang dinanti-nantikan akhirnya akan ditayangkan! Tayangan perdana No Time To Die bakal diadakan di London bulan hadapan. Pengumuman tentang filem pengintip Inggeris ternama ini telah dibuat lewat akaun Twitter rasmi 007.

“Tayangan perdana #NoTimeToDie akan berlangsung pada hari Selasa, 28 September 2021 di Royal Albert Hall, London,” tulis ciapan itu. 

Para penerbit, Michael G. Wilson dan Barbara Broccoli, pengarah Cary Joji Fukunaga serta Daniel Craig akan menghadiri acara karpet merah tayangan perdana filem ini. 

Tarikh tayangan filem ke-25 di bawah saga filem James Bond ini telah beberapa kali ditunda akibat pandemik. 

image is not available

Sepatutnya tayangan perdana filem ini berlangsung bulan Mac lalu. Tetapi selepas itu seluruh dunia dilanda gelombang COVID-19 dan akhirnya pada bulan Januari tahun ini, studio MGM mengumumkan bahawa ia akan ditayangkan pada 8 Oktober di seluruh dunia. 

No Time To Die diarahkan oleh Cary Joji Fukunaga (Beast of No Nation, True Detective) dan dikatakan filem terakhir yang akan menampilkan Craig sebagai Bond. Sebelum ini Craig telah membawa watak pengintip berkarisma ini sebanyak empat kali. 

image is not available

Jalan cerita filem kali ini berkisarkan Bond yang sepatutnya sudah bersara tetapi dipanggil balik untuk beraksi oleh sahabat lamanya, Ejen CIA Felix Leiter. No Time To Die turut dibintangi Rami Malek sebagai musuh Bond bernama Safin, serta Lashana Lynch, Lea Seydoux, Ana de Armas dan Ben Whishaw.

image is not available

Khabarnya pembikian filem ini telah menelan belanja sekitar AS$250 juta. Kejayaan No Time To Die penting buat MGM yang turut menerima dampak pandemik. Universal Pictures telah dilantik sebagai pengedar filem ini di luar negara. - AFP

Semua gambar: Laman web 007.com