Tetap Patriotik Walau Pandemik, Penduduk Gantung 2,000 Jalur Gemilang

21 Aug 2021 • 8:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Penghuni PAKR Hiliran meneruskan tradisi memasang lebih 2,000 Jalur Gemilang pelbagai saiz di sekitar kawasan perumahan itu bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan.

KUALA TERENGGANU - Pandemik COVID-19 bukan penghalang untuk penghuni  Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Hiliran meneruskan tradisi mereka  dengan memasang lebih 2,000 Jalur Gemilang pelbagai saiz di sekitar kawasan perumahan itu.

Tradisi unik itu dilakukan semata-mata bagi menyuburkan rasa cintakan negara, dan menyemarakkan sambutan kemerdekaan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Ketua Blok C PPR Padang Hiliran, Aripin Mohd, 68, berkata, ini adalah tahun kelima mereka bergotong-royong menyiapkan dan memasang Jalur Gemilang di sekitar PAKR itu.

Menurut Aripin, tradisi berkenaan tetap diteruskan biarpun dengan skala lebih kecil, bagi memastikan ia tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Kerana semangat kecintaan yang tinggi terhadap negara, kita tetap mahu raikan sambutan kemerdekaan tapi mengikut SOP dan bersederhana.

"Tahun ini juga  kita putuskan untuk buat kelainan iaitu dengan menggantung bendera Jalur Gemilang dari aras paling tinggi iaitu di tingkat 17," katanya ketika ditemui media di sini.

image is not available
2,000 Jalur Gemilang dipasang di kawasan perumahan PAKR Hiliran, bagi memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan.

Beliau berkata, penduduk juga sanggup mengeluarkan wang saku sendiri bagi menjayakan program tersebut.

“Dua puluh penduduk terlibat bergotong- royong untuk menyiapkan bendera yang menelan belanja RM1,500.

“Bagi program ini tidak ada sumbangan dari pihak luar, semua menggunakan wang saku penduduk yang menyumbang mengikut kemampuan mereka,” katanya.

Tambah Arifin, Jalur Gemilang  itu mengambil masa lima hari untuk disiapkan dan ia dibuat pada waktu malam memandangkan majoriti penduduk perlu bekerja pada siang hari.

"Selain meniup semangat patriotik, aktiviti ini juga mengeratkan kerjasama dan hubungan kekeluargaan sesama penduduk," katanya. - Getaran, 21 Ogos 2021