200,000 keluarga terjejas PKP terima bakul makanan negeri

15 Aug 2021 • 1:36 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

GOMBAK, 15 OGOS: Kira-kira 200,000 keluarga yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat bantuan bakul makanan di bawah dua Pakej Kita Selangor tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan berupa keperluan asas seperti beras, gula dan minyak masak diagihkan kepada 1,000 hingga 4,000 keluarga di setiap 56 Dewan Undangan Negeri.

“Dianggarkan 150,000 hingga 200,000 keluarga termasuk mereka dijangkiti Covid-19 dibantu dengan pemberian bakul makanan dibuat setiap minggu malah setiap hari di sesetengah kawasan,” katanya selepas menyerahkan sumbangan makanan kepada wakil penduduk sekitar Gombak di sini hari ini.

Bantuan disumbangkan Tenaga Nasional Berhad, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Lions Club.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan setiap DUN menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.

The post 200,000 keluarga terjejas PKP terima bakul makanan negeri appeared first on Selangorkini.