Rekaan Realme Book Tertiris Sepenuhnya Ke Arena Web

TechnologyDigital
12 Aug 2021 • 1:39 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sehingga kini, Realme dilihat sedia hadir dengan pelbagai jenis produk dan tidak hanya terhad kepada penghasilan telefon semata-mata. Bagi meluaskan lagi perkembangan jenamanya, Realme bakal memasuki segmen komputer riba pula tidak lama lagi. Melaluinya, Realme Book bakal diperkenalkan.

image is not available

Dalam perkembangan terkini, reka bentuk fizikal Realme Book telah diperlihatkan sepenuhnya dalam beberapa imej sebenar baharu yang tular. Dari segi kemasan, ia dilihat hadir dengan binaan aluminium yang merangkumi bahagian hadapan sehinggalah pada bahagian rangka belakangnya.

image is not available

Kemasannya juga cukup minimalis bersama penjenamaan ‘Realme’ yang menghiasi bahagian atas komputer riba. Turut kelihatan, ia mempunyai bezel yang agak nipis pada bahagian sisi dan atas skrin. Tetapi, binaan pada bezel di bawah agak besar lengkap dengan penjenamaan Realme.

image is not available

Seterusnya, sebuah pengimbas cap jari yang terbina pada butang kuasa juga terletak bersebelahan papan kekunci. Pada bahagian bawah pula terdapatnya satu lohong pengudaraan untuk sistem penyejuk, di samping penjenamaan ‘Dare To Leap’ yang turut boleh dilihat padanya. Bercakap tentang I/O, Realme Book mempunyai sepasang port USB-C dan terdapat juga slot USB bersama bicu audio 3.5mm.

Sementara itu, terdapat juga satu gambar yang tular di media sosial menunjukkan Realme Book dipercayai menyokong fungsi Multi-Screen Collaboration. Ini tidak mengejutkan kerana Realme sendiri sebelum ini sedia mengacah mengenai sebuah aplikasi dan perisian dinamakan “PC Connect”.

Di mana, ia akan membolehkan pengguna menghubungkan telefon pintar Realme kepada komputer riba Realme dengan mudah. Pada masa sama, turut memudahkan sejumlah urusan lain termasuklah proses pemindahan fail dan dokumen.

Seperti biasa, sama-sama kita nantikan pelancaran rasmi pada minggu hadapan iaitu 18 Ogos 2021 untuk ketahui penawaran lebih lanjut.

Sumber : Gizmochina