
GOMBAK, 22 OGOS: Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) membantu belia yang menceburi perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan (e-panggilan), bukan penipuan atau ‘scammer’.
EXCO pembangunan generasi muda berkata keraguan wujud pada awalnya berikutan ramai tidak percaya program itu menawarkan bantuan tunai sebanyak RM500.
“Semasa di peringkat awal kita buka RiDE, ramai tidak percaya kerana kebanyakan menganggap mana ada orang mahu beri duit kepada mereka yang berkhidmat dalam industri ini.
“Jadi, saya ingin jelaskan bahawa ia bukan ‘scammer’ tetapi bantuan kepada belia yang terlibat khusus dalam e-panggilan dan dialukan untuk memohon,” kata Mohd Khairuddin Othman.
Beliau bercakap selepas menyerahkan inisiatif kepada 50 peserta RiDE yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Rakyat Batu Caves di sini semalam.
Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata bantuan tunai selesai diagihkan kepada lebih 3,000 pemohon yang layak melalui dana yang diperuntuk tahun lalu.
Beliau menjelaskan bantuan tersebut membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi belia khususnya sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
“Diharap inisiatif ini dapat menghargai pengorbanan penghantar makanan dan barangan yang sentiasa terdedah dengan risiko jangkitan wabak keselamatan ketika berada di jalan raya,” katanya.
Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM2 juta untuk program tersebut dengan sasaran 3,000 peserta.
Permohonan yang dibuka dari Januari hingga akhir tahun ini melalui http://msnselangor.gov.my turut memberi kelonggaran kepada penunggang e-panggilan berusia bawah 40 tahun.
The post EXCO: RiDE tingkat taraf ekonomi belia, bantuan RM500 bukan tipu appeared first on Selangorkini.
