Bimbang varian baharu

11 Aug 2021 • 9:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Peningkatan kes Covid-19 ketika ini mencetuskan kebimbangan ibu bapa terhadap risiko penularan jangkitan sekiranya sesi persekolahan dibuka seperti dijadualkan pada 1 September depan.

Menurut Sharifah Hasni Hussin, 53, kewujudan varian baharu amat membimbangkan dan kes kematian bagi beberapa negeri semakin meningkat.

image is not available

“Perasaan risau untuk melepaskan anak-anak ke sekolah tetap ada kerana wabak Covid-19 dengan varian Delta berbahaya masih berada di tahap yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Norhafzan Ramli, 44, berkata, jumlah kes baharu harian semakin tinggi berbanding pada Mei lalu yang menjangkau empat angka.

“Sebagai ibu saya sangat bimbang. Sekiranya sekolah tetap dibuka mustahil jumlah kes Covid-19 harian akan menurun,” katanya.

image is not available

Selain itu, Bossley Ishak, 54, berkata, langkah kerajaan membuka sekolah tidak wajar kerana kadar imunisasi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun amat rendah.

Hal ini kerana, ramai anak-anak masih tidak mendapatkan suntikan vaksin yang menjadikan mereka mudah terdedah dengan bahaya Covid-19.

image is not available

Dalam pada itu, Wan Amru Haqimi Wan Abdul Salam, 28, berkata, prosedur operasi standard (SOP) di sekolah juga tidak memberi jaminan kukuh untuk menghantar anak ke sekolah.

“Mengikut situasi sekarang dengan kadar kes yang tinggi, saya agak musykil untuk membenarkan anak saya ke sekolah tanpa jaminan SOP yang ketat,” ujarnya.

image is not available

Kata Amirullah Yusof, 39, kerajaan perlu mengkaji semula cadangan pembukaan sekolah dengan mengambil kira negeri yang masih berada dalam fasa satu Pelan Pemulihan Negara.

image is not available

“Saya menyambut baik komitmen kerajaan memastikan pendidikan berterusan semasa negara berusaha menangani pandemik Covid-19 tetapi saya berpendapat sekolah mungkin boleh dibuka seawal pertengahan fasa ketiga PPN,” jelasnya.

image is not available