AMPANG, 2 OGOS: Kerana tidak memiliki kenderaan, warga emas berkerusi roda meredah perjalanan dua jam sejauh 15km dalam hujan renyai untuk menerima suntikan pelalian.
Ejaz Hussain Muhammad Ismail, 55, yang menghidap penyakit gout dan kencing manis berbuat demikian untuk memperoleh suntikan menerusi program Vaksin Selangor (Selvax).
Ditemani isteri Shania Agus, 67, mereka yang mengaku kerap berkerusi roda ke sana ke sini bertolak dari rumah di Taman Putra ke Dewan MPAJ Pandan Indah di sini pada jam 10 pagi sebelum tiba sekitar 12 tengah hari semalam.

Pasangan tersebut juga dilihat mengelak menjawab soalan berkaitan lima anaknya yang menetap sekitar Lembah Klang tetapi tidak menghantar mereka ke sana.
“Anak semua tahu kami mahu pergi vaksin hari ini tetapi kami pilih untuk pergi sendiri kerana tidak mahu susahkan mereka yang mungkin ada kerja lain…lagi pula ini hari Ahad, tidak mahu ganggu,” kata Shania.
Beliau juga menjelaskan hujan mula melanda ketika mereka dalam perjalanan tetapi tidak lebat dan mereka berhenti seketika di perhentian bas berbumbung sebelum menuju destinasi.
“Sesekali juga berhenti juga untuk berehat…Alhamdulillah perjalanan kami dipermudahkan dan vaksin pun selesai untuk dos pertama, terima kasih Kerajaan Selangor,” katanya lagi.
Menerusi Selvax Komuniti, program yang terangkum dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, sebanyak 500,000 dos disediakan untuk manfaat 250,000 penduduk negeri ini.
Inisiatif bernilai RM200 juta yang menyasar warga emas, orang kelainan upaya, golongan berpendapatan rendah dan penerima Inisiatif Peduli Rakyat.
The post Tiada kenderaan, warga emas berkerusi roda redah hujan 15km ke PPV appeared first on Selangorkini.
