Seorang pelawak terkenal tanah air telah ditahan di sebuah hotel di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada hari ahad bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks.
Menerusi laporan Sinar Harian, pelawak berusia 40 tahun itu ditahan dalam serbuan Ops Pintas dilakukan pada jam 10 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Pilah selepas mereka menjalankan risikan.
Berjaya selamatkan seorang wanita
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata dalam serbuan itu polis juga berjaya menyelamatkan seorang wanita daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang untuk tujuan eksploitasi seks.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda.
“Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah sebuah kereta jenis Perodua Axia, beberapa bungkusan kondom, sejumlah wang tunai dan empat buah telefon bimbit,” katanya dipetik dari Sinar Harian.

Suspek direman 4 hari, turut dikompaun sebab rentas negeri
Ekoran dari penahanan tersebut suspek berusia 40 tahun itu kini direman selama 4 hari manakala mangsa yang diselamatkan kini telah mendapat perlindungan di sebuah rumah perlindungan di Johor
“Suspek direman selama empat hari manakala mangsa yang diselamatkan mendapat perintah perlindungan sementara dan ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor.
“Suspek juga dikenakan kompaun bagi kesalahan rentas negeri tanpa kebenaran mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) ( Pelan Pemulihan Negara) 2021.
“Siasatan lanjut berkaitan kes ini masih dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian kegiatan pemerdagangan orang itu,” katanya lagi.
Source:

