KUALA SELANGOR, 4 OGOS: Seorang lelaki tidak mahu melepaskan tawaran suntikan tanpa janji temu diterima kakak iparnya dengan membawa warga asing itu ke pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan MDKS, Bandar Baru Kuala Selangor di sini semalam.
Biarpun pada awalnya meragui kelayakan Ho Thi Nhu, 34, untuk menyertai program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti namun Lee Hock Lai, 32, tidak menyangka wanita dari Vietnam itu dibenarkan berbuat demikian.
Malah pegawai jualan di sebuah syarikat swasta itu sanggup meminta pelepasan cuti daripada majikan demi menemani kakak iparnya ke PPV serta menguruskan pendaftaran sehingga selesai suntikan dos pertama.

“Saya dimaklumkan sukarelawan di sini dia (Thi Nu) layak divaksin dan segera bantu memuat turun aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) serta mengisi maklumat peribadi.
“Proses berjalan lancar dan cepat. Saya menghargai usaha Kerajaan Selangor yang menjalankan program secara percuma tanpa menyisihkan warga asing,” katanya sambil menambah wanita berkenaan sudah tiga tahun menetap bersama di Taman Bendahara di sini serta mengasuh dua anak.
Sementara itu, peniaga pasar, Lim Kah Boon, 49, berkata dia bergegas pulang ke rumah sebaik selesai berniaga pada waktu pagi untuk membawa ibu Ang Siyok, 88, dan ibu tirinya Goh Kim Heok, 78, ke PPV bagi tujuan berkenaan.

Anak kedua dari lima beradik itu mengakui sebelumnya kurang yakin untuk mendaftar kedua-dua ibunya sebagai penerima vaksin kerana khuatir kesan sampingan boleh memudaratkan, apatah lagi Ang baharu selesai menjalani pembedahan usus bulan lalu.
Bagaimanapun, melihat situasi semasa Covid-19, Lim nekad berjumpa doktor pakar beberapa hari lalu bagi mendapatkan pandangan sebelum disyorkan berbuat demikian.
“Kebetulan ada program Selvax berhampiran rumah, jadi berbekalkan nasihat doktor, walaupun kedua-duanya memang fobia jarum tetapi saya tetap bawa kerana ancaman wabak semakin bahaya ketika ini,” katanya.

Seorang lagi peserta, Muhammad Al-Barrak Mohd Zubir, 18, berkata meskipun kecederaan kaki kanan akibat kemalangan jalan raya minggu lalu masih belum pulih sepenuhnya namun tidak melunturkan semangat untuk divaksin secara terus.
“Saya tetap mahu disuntik untuk perlindungan diri sebab bimbang sekarang Covid-19 ada di mana-mana tambahan ramai kawan yang sudah dapat sekurang-kurangnya satu dos,” katanya memuji proses pemberian vaksin mengambil masa kurang 15 minit.
The post Lelaki tidak lepas peluang bawa kakak ipar warga asing terima vaksin Selangor appeared first on Selangorkini.

