Selangor lulus 581.48 hektar kawasan gantian Hutan Simpan Kekal

30 Aug 2021 • 5:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Selangor meluluskan 581.48 hektar tanah di daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Hulu Langat sebagai kawasan gantian Hutan Simpan Kekal (HSK) pada Mei lalu, demikian Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu pada Isnin.

Kawasan tersebut melibatkan mukim Sungai Panjang daerah Sabak Bernam seluas kira-kira 308.62 hektar: Ampang Pechah, mukim Buloh Telor daerah Hulu Selangor (208.98 hektar) dan Bukit Broga, mukim Semenyih daerah Hulu Langat seluas 63.88 hektar.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, keputusan itu dicapai pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-17/2021 pada 5 Mei lepas yang disahkan oleh MMKN ke-18 pada 19 Mei.

“Secara umumnya, kerajaan negeri Selangor masih dapat mengekalkan keluasan HSK di Selangor tidak kurang daripada 30 peratus.

“Setelah mengambil kira keluasan HSK yang akan dinyahwartakan dan kawasan gantian baharu, jumlah keluasan HSK adalah berjumlah kira-kira 250,255.36 hektar,” katanya ketika menggulung pertanyaan ahli-ahli DUN di sini pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Elizabeth Wong Keat Ping (PH-Bukit Lanjan), Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang), Datuk Mohd Imran Tamrin (BN-Sungai Panjang) dan R Rajiv (PH-Bukit Gasing) yang ingin mengetahui berhubung penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) serta cadangan penambahan keluasan HSK.

Loy Sian berkata, MMKN telah memutuskan hanya seluas kira-kira 536.70 hektar daripada keseluruhan kawasan HSKLU diluluskan untuk dinyahwarta di bawah Seksyen 12 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

“Jumlah keluasan HSKLU yang ingin dinyahwarta ini ialah kurang 45 peratus daripada jumlah asal yang dicadangkan iaitu berjumlah kira-kira 991.90 hektar.

“Hal ini kerana kerajaan negeri telah mengambil kira bantahan dan kepentingan biodiversiti serta kepentingan orang asli, justeru hanya sebahagian HSKLU yang dinyahwarta,” katanya. - Bernama