Intel Akan Menamatkan Pembangunan Teknologi Kamera RealSense

TechnologyDigital
18 Aug 2021 • 10:02 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Selain daripada membangunkan teknologi cip pemprosesan untuk kegunaan komputer dan mesin pelayan, Intel juga sebelum ini dilihat membangunkan pelbagai jenis teknologi berasaskan cip lain seperti storan, modem, kamera dan sebagainya. Diantaranya ialah kamera 3D RealSense yang membantu pembuat peranti untuk hadir dengan sebuah sistem kamera yang dilengkapi kecerdasan buatan dan mempunyai pelbagai jenis ciri-ciri tambahan yang tidak dilihat pada modul-modul kamera yang lain.

Akan tetapi, seperti kebanyakan bisnes Intel lain yang dihentikan pembangunannya, atau dijual, Intel nampaknya akan menghentikan pembangunan dan pembuatan kamera Realsense untuk mengalihkan tenaga kerja kembali ke membangunkan teknologi cip pemprosesan.

image is not available

Sebahagian besar daripada keputusan ini dibuat kerana walaupun Intel memperlihatkan ada syarikat yang membeli kamera-kamera Realsense ini, jumlahnya tidak menguntungkan Intel, disamping mengambil tenaga kerja yang terlalu ramai yang boleh digunakan untuk mempercepatkan penyelidikan dan pembangunan projek-projek Intel yang lebih penting.

Ini bukanlah untuk mengatakan teknologi kamera RealSense ialah satu kegagalan. Teknologi tersebut adalah diantara yang pertama untuk hadir di pasaran yang hadir dengan kemampuan seperti pengecaman wajah, persepsi kedalaman, dan sedang aktif digunakan dalam industri seperti pembangunan peranti dan juga robotik.

Intel mengatakan bahawa mereka masih akan memenuhi permintaan sedia ada, tetapi akan menutup sebarang permintaan untuk kamera Realsense ini dalam jangka-masa terdekat ini.

Sumber: Engadget