Selangor sumbang RM100,000 bantuan pasca banjir lumpur di Yan

31 Aug 2021 • 7:09 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

YAN BESAR, 31 OGOS: Kerajaan Selangor menyumbang sebanyak RM100,000 kepada Kedah sebagai bantuan pascabanjir lumpur di Yan akibat fenonema kepala air pada 18 Ogos.

Sumbangan diserahkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kepada EXCO sumber manusia Kedah Brigedier Jeneral (B) Dato’ Najmi Ahmad ketika lawatan ke kawasan terjejas di air terjun Titi Hayun, hari ini.

Amirudin turut memberi barang keperluan harian dan peralatan seperti dapur daripada Yayasan Selgate kepada keluarga terjejas.

Selain itu, Dato’ Menteri Besar juga menghulur wang tunai kepada enam keluarga mangsa yang terkorban akibat bencana berkenaan.

image is not available
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat kesan banjir akibat fenomena kepala air dalam sesi lawatan ke kawasan terjejas di air terjun Titi Hayun, Yan Besar pada 31 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ketika ditemui Amirudin berkata beliau berharap sumbangan diberikan itu dapat meringankan beban kerajaan negeri Kedah dalam membantu mangsa banjir.

“Mungkin jumlah yang diberikan terlalu kecil untuk keperluan dan kos pemulihan memakan belanja sehingga RM60 juta.

“Terpulang kepada mereka tetapi mungkin boleh diberikan kepada yang memerlukan ikut kesesuian dan pelan kerajaan Kedah,” katanya.

Dalam kejadian 18 Ogos lalu, enam orang terkorban dalam kejadian banjir ekoran fenomena kepala air dari Gunung Jerai.

Sebanyak 800 rumah di sekitar Yan dan 200 rumah di Tupah, Kuala Muda terjejas akibat kejadian tersebut.

 

The post Selangor sumbang RM100,000 bantuan pasca banjir lumpur di Yan appeared first on Selangorkini.