Jais ambil alih untuk percepat urus jenazah pesakit Covid-19

2 Aug 2021 • 3:26 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

SHAH ALAM, 2 OGOS: Kerajaan Selangor menetapkan tatacara bagi pengebumian jenazah umat Islam yang dijangkiti Covid-19 bagi memastikan prosesnya tersusun dan dipercepat.

EXCO Agama Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata langkah itu dibuat dengan menetapkan 37 tanah perkuburan dan pemilihannya dibuat berdasar kriteria tertentu.

Jelasnya, kriteria terbabit termasuk kedudukannya berhampiran hospital serta diuruskan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai kemudahan seperti jengkaut bagi mempercepatkan proses berkenaan.

“Sebelum ini ada masalah tanah perkuburan terutama di kampung tiada penggali kubur terlatih atau boleh menguruskan jenazah Covid-19, jadi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ambil alih.

“Selain dekat dengan hospital tanah perkuburan dipilih terbabit diuruskan PBT, mereka mempunyai jengkaut untuk mengorek lebih banyak kubur berbanding secara mencangkul,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zawawi berkata Jais juga berkhidmat secara percuma dan sekiranya ada bayaran sekali pun jumlahnya sekitar RM100 ke RM200 bagi pembayaran kos pengurusan tanah kubur.

Jelasnya, langkah itu diharapkan mempercepatkan proses pengurusan jenazah selaras tanggungjawab fardu kifayah dan mengelakkan masalah limpahan mayat di hospital.

17 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat bagi mengatasi kesesakan bilik mayat sedia ada.

Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Klang dijadikan tempat khusus pengurusan jenazah Covid-19.

The post Jais ambil alih untuk percepat urus jenazah pesakit Covid-19 appeared first on Selangorkini.