
SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor dijangka mengemukakan usul pindaan untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) secara hibrid sekiranya pandemik berterusan dan perkara lain yang tidak boleh dilakukan secara fizikal pada masa depan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usul itu akan dibawa pada hari kedua Sidang DUN Selangor yang dijadualkan bersidang pada Isnin depan.
"Pindaan ini adalah untuk memastikan pada waktu tertentu kita boleh mengadakan sidang DUN secara hibrid.
"Cadangan ini akan dikemukakan pada sebelum atau selepas sesi perbahasan supaya pada masa depan sekiranya berlaku sebarang isu seperti pandemik yang tidak mungkin diadakan secara fizikal ia dapat bersidang secara hibrid," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom pada Khamis.
Amirudin berkata, selain itu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga telah merangka untuk meminda pindaan undang-undang tubuh negeri berhubung pelaksanaan kelayakan mengundi umur 18 tahun.
"Namun atas nasihat tertentu dan pandangan pelbagai pihak, kita tidak dapat membawa usul ini pada sidang kali ini sebaliknya akan dibawa pada sidang pembentangan bajet yang dijadualkan pada akhir November atau awal Disember ini," katanya.
Mengulas lanjut, Amirudin memberitahu, sidang DUN yang akan bermula pada Isnin ini mempunyai tempoh selama dua minggu untuk bersidang.
Malah katanya, beliau bersama Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim dan dua Exco Selangor iaitu Datuk Teng Chang Khim dan Izham Hashim sudah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini.
"Baginda telah berkenan untuk hadir dan menyampaikan titah pembukaan sidang DUN, namun atas faktor kesihatan dan keselamatan awam ketika Covid-19 beberapa acara biasa ketika pembukaan dewan seperti perbarisan, bergambar, sesi menghadap dan santapan kita tidak laksanakan atas faktor tersebut," katanya.

