Gara-gara Satu ‘Tweet’, Faizal Tahir Dibelasah Warganet

Politics
16 Aug 2021 • 10:13 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Desas-desus pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri bermula hari ini (Isnin) sudah mula diperkatakan warganet sejak beberapa hari lalu. Pelbagai respons dikongsikan warga Twitter, ada yang bersetuju, ada juga yang sebaliknya.

Namun, nama Faizal Tahir tiba-tiba menjadi sohor kini apabila penyanyi lagu Gemuruh itu mula membalas sebuah ciapan seorang warga Twitter  yang menyifatkan kepimpinan Muhyiddin sebagai sebuah kegagalan. 

Dalam tweet berkenaan, Faizal menyebut: “Jika anda tidak mempunyai perkara baik untuk diucapkan tentang seseorang, lebih baik jika anda tidak berkata apa-apa langsung. Ini bukan ajaran Nabi, ini bukan karakter seorang Islam. Hanya pengecut yang menyembunyikan tangan selepas melempar batu.” 

Ciapan berkenaan bagaimanapun meledak sehingga diulang ciap sehingga 3,000 pengguna Twitter setakat artikel ini ditulis. Rata-rata tidak berpuas hati dan mengkritik bahawa Faizal tidak memahami konteks 'berdiam' seperti yang dianjurkan agama. 

Seorang pengguna bernama Ahmad Yahya menyatakan seorang muslim juga tidak boleh berdiam diri sekiranya berlaku pengkhianatan, salah guna kuasa dan korupsi. Apalagi melihat kepada realiti kegagalan kerajaan menguruskan pandemik sehingga mengorbankan 12,000 nyawa akibat COVID-19. 

Turut mempertikaikan ciapan Faizal ialah penyanyi lagu Sumpah, Naim Daniel. Menerusi akaun Twitter rasminya, Naim bertanya adakah kezaliman yang meragut ribuan nyawa masyarakat merupakan ajaran Rasulullah? 

“Maaf, abang. Sekadar bertanya. Sekadar meminta pencerahan sahaja,” tulisnya.

Namun begitu, ada juga yang berpendapat apa yang ditulis penyanyi Sampai Syurga itu ada asasnya dan masyarakat tidak boleh meletakkan kesalahan itu kepada kerajaan semata-mata. 

“Bukan salah mereka (kerajaan) seratus peratus. Salahkan diri sendiri juga kerana tidak menjaga SOP, tak jaga diri sendiri. Mereka (kerajaan) dah terangkan tentang SOP namun kita tidak ikut,” tulis sebuah akaun Twitter bernama nothing. 

Namun begitu, tiada maklum balas atau ciapan baru yang ditulis oleh Faizal bagi memberi respons kepada kritikan yang dilemparkan netizen setakat ini. 

Khabar angin peletakan jawatan Muhyiddin yang bakal digantikan dengan Datuk Seri Ismail Sabri sudah berlegar sejak semalam. Namun setakat ini, belum ada apa-apa kenyataan rasmi mengesahkan kebenaran berita tersebut. - Getaran, 16 Ogos 2021