
KUALA SELANGOR, 26 OGOS: Teruja untuk melengkapkan dos vaksin, seorang individu kelainan upaya (OKU) bersemangat untuk bangun dan bersiap seawal jam 6 pagi bagi mendapatkan pelalian Covid-19.
Muhammad Hanafi Shamsuri, 21, ditemani abangnya bagi menerima suntikan program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di Dewan MDKS Bandar Baru Kuala Selangor di sini hari ini.
Menurutnya dia rela hati mahu divaksin tanpa paksaan daripada mana-mana pihak bagi perlindungan diri berikutan kes Covid-19 yang semakin tinggi.

“Saya mahu divaksin kerana bimbang dengan penularan kes yang semakin mendadak tambahan lagi saya OKU (orang kelainan upaya) mungkin agak berisiko dan mudah dijangkiti,” katanya kepada SelangorKini.
Beliau yang menghidap penyakit saraf sejak kecil sehingga menyukarkannya berjalan antara 1,330 penerima suntikan pelalian Selvax Komuniti DUN Permatang .
Selain itu, seorang pekerja kilang, Habsah Sufian, 34, berkata beliau mengambil vaksin sebagai langkah berjaga-jaga dan mahu melindungi keluarga.

“Saya ambil vaksin ini kerana bimbang kes Covid-19 di tempat kerja sentiasa ada. Ia juga sebagai salah satu inisiatif untuk melindungi diri dan tiga anak yang masih kecil.
“Walaupun kerajaan memberi kelonggaran seperti boleh makan di restoran tetapi bagi saya tidak perlu dahulu buat masa ini kerana kes masih tinggi,” katanya.
Manakala, seorang buruh binaan, Siti Mujayana Sagimin, 41, berharap agar kerajaan dapat membuka pintu sempadan dan membenarkan individu lengkap vaksinasi merentas negara.
“Sudah lima tahun tidak bertemu empat anak saya di Surabaya, Indonesia. Harapnya selepas ini kelonggaran diberi kepada mereka yang lengkap dos.

“Terima kasih Kerajaan Selangor kerana sudi membuka peluang untuk warga asing seperti kami divaksin,” katanya yang sudah lapan tahun menetap di Malaysia.
Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.
Usaha itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.
The post OKU bersiap seawal 6 pagi, teruja mahu lengkapkan dos vaksin appeared first on Selangorkini.
