
KUALA LUMPUR - Orang ramai yang ingin melanjutkan pengajian ke luar negara diminta membuat semakan status program dan institusi terlebih dahulu, bagi memastikan ia mendapat pengiktirafan di Malaysia serta badan akreditasi negara terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, semakan itu penting supaya tidak timbul masalah mengenai akreditasi program diikuti pelajar apabila mereka kembali ke negara ini selepas tamat pengajian.
Jelasnya, ramai dalam kalangan pelajar terlalu ghairah untuk melanjutkan pengajian ke luar negara, khususnya apabila menerima tajaan menerusi bantuan biasiswa daripada pihak tertentu tanpa membuat semakan terlebih dahulu.
“Terdapat kes apabila pelajar kembali ke tanah air, barulah mereka sedar program pengajian diikuti mereka selama tiga hingga empat tahun di luar negara itu tidak mendapat pengiktirafan di Malaysia.
“Diharapkan pelajar yang ingin menyambung pengajian ke luar negara, sama ada atas kapasiti sendiri atau tajaan, membuat sedikit kajian mengenai status program dan institusi terbabit," katanya.
Mohammad Shatar berkata, semakan itu boleh dibuat di laman web Sistem Pengiktirafan Kelayakan Perkhidmatan Awam (eSisraf) di www2.mqa.gov.my/esisraf atau merujuk kepada sumber atas talian dan pihak berkuasa destinasi pengajian berkenaan.
MQA jelasnya, sering dirujuk pelbagai pihak berkaitan program dan institusi pengajian tinggi (IPT) di luar negara, justeru status pengiktirafan oleh badan akreditasi di negara asal adalah indikator penting untuk pengesahan mengenai perkara berkenaan.
Tambah beliau, MQA juga giat memperkukuhkan kerjasama dengan badan akreditasi luar negara dalam aspek bertukar kepakaran mengenai jaminan kualiti pendidikan tinggi.
“Kerjasama ini dapat memudahkan urusan pelajar Malaysia dalam mengenal pasti program yang diiktiraf, selain mampu menambah pilihan program dan institusi untuk pelajar kita melanjutkan pengajian ke luar negara.
“Dengan adanya kerjasama global ini, graduan Malaysia boleh bekerja di mana sahaja kerana kualiti pendidikan mereka dijamin MQA serta badan akreditasi di negara mereka belajar," katanya. - Getaran, 28 Ogos 2021


