Bekerja dari rumah sudah menjadi trend ketika ini. Banyak syarikat yang tidak mewajibkan pekerja hadir ke pejabat bagi memutuskan rantaian COVID-19 yang semakin parah. Apabila mula bekerja di rumah, salah satu rutin yang perlu dilakukan ialah, mesyuarat secara maya atau bahasa popularnya online meeting. Sama ada suka atau tidak, anda kena lakukannya.
Bagi kaum lelaki, mungkin tidak menjadi masalah menghidupkan kamera dengan wajah yang polos, tapi untuk kaum wanita, it’s a big no! no! Tak sanggup mahu pamerkan wajah yang ‘tidak siap’ kepada rakan-rakan sekerja, apalagi bos! Sebab itu ramai wanita yang sanggup 'off camera’. Itu Pun kalau bos benarkan. Kalau dia arahkan kamera mesti dipasang, mahu atau tidak, terpaksalah turutkan.
Jadi bagaimana cara untuk bersedia di hadapan kamera? Selain perlu berpakaian kemas dan tidak mencolok mata, wajah juga perlu dioles tipis untuk penampilan lebih menyakinkan. Tak perlu bersolek tebal, cukuplah dengan penampilan sederhana tetapi menawan. Jom ikut tip solekan berikut. Mudah sahaja, 15 minit sudah siap!

1) Guna alas solekan yang melembapkan
Rahsia untuk kulit kelihatan sihat menawan ialah dengan memakai alas solekan yang boleh mengelakkan kulit daripada terhidrasi (kering). Jadi, walaupun anda ingin cepat, pastikan anda lembapkan wajah sebelum mengenakan sebarang solekan.
Boleh pakai krim pelembap, krim pelindung UV dan juga face mist yang terbukti boleh melembapkan kulit wajah. Anda pasti gembira dengan hasilnya nanti kerana ia membuatkan solekan mudah diaplikasikan serta nampak berseri-seri (glowing).
2) Guna bedak yang praktikal
Anda boleh pakai sebarang jenis bedak yang digemari, namun adalah lebih baik guna bedak tabur untuk menjimatkan masa. Ini kerana bedak jenis ini lebih mudah diaplikasikan serta tahan lebih lama. Sifatnya yang ringan membuatkan penampilan nampak lebih natural. Jangan tak tahu, bedak jenis ini juga mesra pada kulit berminyak dan berjerawat.
3) Ringkaskan solekan mata
Solekan mata selalunya mengambil masa yang panjang. Jadi, untuk tampil sederhana, cubalah ringkaskan solekan mata dengan hanya merapikan alis mata dengan sikat kecil atau bentuk garisan nipis. Sapukan pembayang mata daripada tona natural dan oleskan maskara yang cepat kering supaya anda tidak perlu menunggu lama.

4) Gunakan pewarna 3 dalam 1
Salah satu 'makeup hack' yang sangat berguna dan menjimatkan ialah, anda boleh menggunakan pewarna 3 dalam 1 yang boleh digunakan sebagai pembayang mata, pemerah pipi dan juga pewarna bibir. Oleskan sedikit di permukaan tangan, kemudian sapukan ke pipi dan kelopak mata. Siap!
5) Gunakan setting spray
Akhiri solekan anda dengan setting spray. Memang benar kegunaan setting spray ini adalah untuk memastikan solekan tahan lebih lama. Tapi, ia juga boleh menyerlahkan solekan agar kelihatan segar dan menawan. Jadi, ia sangat berguna untuk online meeting. Barulah semangat untuk menyiapkan tugasan sepanjang hari itu. Tak mustahil, rakan-rakan sekerja yang lain juga dapat aura yang sama!
Selamat mencuba! - Getaran, 3 Ogos 2021

