Selangor kekal nyah warta HSKLU

8 Sep 2021 • 8:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor yang bersidang pada petang Rabu memutuskan untuk mengekalkan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebahagian tanah HSKLU seluas 42.087 hektar daripada keseluruhan kawasan berjumlah 536.613 hektar akan kekal dinyahwartakan.

Beliau berkata, ia bagi melengkapkan pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru yang tertangguh susulan pemindahan mereka sebelum ini berikutan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan sebahagian kecil lagi kawasan HSKLU dinyahwartakan bagi jajaran East Coast Rail Link (ECRL).

"Kerajaan Selangor memutuskan untuk menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan tersebut serta membatalkan pemberimilikan tanah berkenaan kepada syarikat berkaitan.

"Sehubungan itu, kerajaan Selangor akan memulakan proses mewartakan semula HSKLU selepas ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata, kawasan gantian yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) seluas 581.129 hektar di Sungai Panjang, Ampang Pechah dan Bukit Broga akan turut dikekalkan statusnya.

Menurutnya, kerajaan Selangor menegaskan bahawa segala proses penyahwartaan HSKLU sebelum ini telah mengikuti segala prosedur dan tatacara yang dinyatakan mengikut lunas undang-undang.

"Sebagai sebuah kerajaan yang berteras prinsip akauntabiliti, kerajaan Selangor akan menulis surat kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) untuk menjawab isu-isu yang dibangkitkan dengan penyahwartaan sebelum ini," jelas beliau.

Pada Isnin, Exco Alam Sekitar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian memaklumkan bahawa MMKN Selangor bersetuju menyahwartakan HSKLU bagi tujuan pembangunan.

Pemakluman menerusi sidang DUN itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar yang membantah keputusan tersebut.