PdPR Masih Relevan - Dr Anuar

22 Sep 2021 • 8:13 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
PdPR yang dijalankan sejak COVID-19 melanda negara pada tahun lepas, telah mencetuskan perdebatan dan persoalan mengenai tahap keberkesanannya kepada pelajar. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) masih relevan walaupun tahap keberkesanan dalam kalangan murid dan pelajar sekolah adalah sederhana.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia UKM, Dr Anuar Ahmad berkata, walaupun sesi bersemuka masih diakui sebagai kaedah pendidikan terbaik, namun PdPR wajar diteruskan bagi memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pembelajaran, khususnya ketika ancaman COVID-19 masih bermaharajalela.

Menurut beliau, Kementerian Pendidikan (KPM) kelmarin mengumumkan bahawa 51.2 peratus murid berasa tertekan semasa pembelajaran di rumah, tetapi hakikatnya ia masih perlu diteruskan dengan melakukan penambah baikan pada aspek tertentu.

“Kita pandang serius dengan tekanan yang dihadapi murid tetapi dalam masa sama, pihak kementerian juga wajar mempelbagaikan kaedah pembelajaran seperti melalui program Didik TV yang disiarkan di televisyen,” katanya.

Mengulas lanjut Anuar berkata, sehingga kini masih ramai ibu bapa yang belum mempunyai kemudahan internet dan komputer riba walaupun sudah hampir 20 bulan berhadapan dengan pandemik COVID-19.

“Justeru, antara cara untuk mengurangkan tekanan serta memastikan anak-anak tidak terus tercicir dengan pembelajaran, adalah mempelbagaikan lagi siaran televisyen pendidikan,” tegasnya.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin kelmarin mengumumkan, tinjauan kementerian menunjukkan lebih separuh pelajar (responden) merasa tertekan kerana sistem PdPR.

Tinjauan antara bulan Mac dan Julai tahun lalu itu melibatkan 39,967 guru, 52,413 pelajar dan 59,624 ibu bapa.

"Dari jumlah ini, 51.2 peratus murid berasa tertekan semasa pembelajaran di rumah.

"Daripada kumpulan tersebut, 48.9 peratus murid menyatakan sebab tertekan adalah kerana interaksi yang terhad dengan guru, manakala 55.0 peratus murid lagi disebabkan disebabkan batasan komunikasi dengan rakan-rakan," katanya di Dewan Rakyat, ketika menjawab soalan bertulis Rubiah Wang (GPS - Kota Samarahan).

Mohd Radzi berkata, 53.4 peratus murid pula tertekan disebabkan kurang bimbingan dalam sesi pembelajaran. -  Getaran, 22 September 2021.