Kapasiti Pegeluaran Kit Ujian SALAXIUM Ditingkatkan, Guna Tenaga Kerja Tempatan

16 Sep 2021 • 2:46 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
MeDKAD optimis mampu menghasilkan hingga 7 juta unit ujian kit kendiri sebulan.

KUALA LUMPUR - Kapasiti pengeluaran kit ujian kendiri rapid antigen COVID-19 keluaran SALAXIUM berjaya ditingkatkan, serentak dengan pengambilan lebih 500 tenaga kerja tempatan, yang majoritinya terdiri daripada golongan B40.

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama MeDKAD, Ezuan Yaacob berkata, mereka turut melabur lebih RM10 juta untuk tujuan ini dengan memberi peluang kepada 1,200 pekerja.

Menurut beliau, pihaknya optimis mereka mampu menghasilkan sehingga tujuh juta unit kit ujian kendiri sebulan untuk memastikan semua lapisan rakyat berpeluang memiliki akses kepada produk berkenaan.

“Dilancarkan ke pasaran pada bulan Julai tahun ini dan boleh didapati dengan mudah di farmasi dan fasiliti kesihatan yang berdaftar seluruh negara, SALAXIUM adalah produk buatan tempatan pertama dari jenisnya dan telahpun diluluskan untuk penjualan di Malaysia oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“SALAXIUM menggunakan teknologi immunoassay aliran lateral untuk mengesan antigen SARS-CoV-2 dalam spesimen swab air liur dan dinding bahagian dalam hidung. Ia boleh digunakan oleh makmal perubatan atau pekerja kesihatan bagi ujian tempat rawatan (point-of-care) dan ujian kendiri oleh umum di rumah.

“Berlainan dengan kit ujian kendiri yang telah berada di pasaran, SALAXIUM memerlukan pengguna mendapatkan dua sampel spesimen swab air liur dan bahagian dalam hidung yang meningkatkan kadar pengesanan jumlah virus atau viral load pengguna,” katanya.

image is not available
Ezuan Yaacob

Ezuan berkata, hasil ujian menunjukkan bahawa ukuran sensitiviti SALAXIUM adalah 91.23% dan ukuran spesifikasi adalah 100% menjadikan ia antara yang paling tepat di pasaran, selain berjaya melepasi penilaian berdasarkan hasil ujian makmal dikeluarkan  Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Belliau memberitahu, kit ujian SALAXIUM ditawarkan dengan harga yang kompetitif dan memiliki kualiti setanding produk antarabangsa.

“Kami berharap usaha ini dapat membantu lebih ramai penduduk dari negara berpendapatan rendah dan pertengahan untuk turut mendapat akses kepada menjalankan ujian sebagaimana penduduk lain yang berkemampuan.

“Ini juga berpotensi untuk membantu negara memberi respon yang pantas serta efektif kepada pandemik yang berlarutan. Di MeDKAD, kami akan meneruskan usaha untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi dan sentiasa berinovasi untuk memerangi virus COVID-19, dan menyumbang kepada sosioekonomi negara,” katanya. - Getaran, 16 September 2021.