2 Maut Tanah Runtuh, Banjir Kilat Landa Kota Kinabalu

15 Sep 2021 • 9:30 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

KOTA KINABALU - Dua maut, manakala empat lagi selamat dalam kejadian tanah runtuh di Forest Hill, Penampang, petang tadi.

Mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Salmah Hamid, 25, dan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Rosatima Asbirin.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihak mereka menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada jam 3.57 petang.

Menurut beliau, sepasukan anggota bersama Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan dua kenderaan utiliti dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dan Kota Kinabalu dikerah ke lokasi susulan laporan.

“Dua mangsa berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan manakala empat lagi terselamat.” katanya.

image is not available
Antara kawasan yang dilanda banjir kilat ialah Kolombong, Luyang, Inanam serta beberapa kawasan kampung di Penampang.

Perkembangan kes tersebut jelas jurucakap itu, akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan lain, beberapa kawasan di sekitar bandaraya ini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat dan angin kencang sejak beberapa jam lalu.

Antara kawasan yang terjejas ialah Kolombong, Luyang, Inanam serta beberapa kawasan kampung di Penampang.

Pihak JBPM Sabah turut menerima beberapa panggilan berhubung insiden berkenaan dan menggerakkan beberapa operasi bagi membantu mangsa.

Operasi menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap juga dibuat di Taman Seputih, Damai yang melibatkan empat individu serta penduduk di Kampung Bentayan, Inanam. – Getaran, 15 September 2021