9 Pendaki Sesat Ditemui

14 Sep 2021 • 7:41 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
9 pendaki yang sesat sejak 5 petang semalam, berjaya ditemui malam tadi.

LABUAN - Sembilan individu termasuk seorang kanak-kanak berusia 3 tahun yang dilaporkan sesat di Marinding Trail di sini, malam tadi selamat ditemui. 

Kesemua mangsa berusia antara 3 hingga 36 tahun itu memasuki kawasan berkenaan sekitar jam 5 petang semalam untuk melakukan aktiviti mendaki bukit.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata, mereka terdiri daripada enam kanak-kanak, dua lelaki dan seorang wanita dewasa.

Menurut beliau, kesemua mangsa hanya menyedari mereka sudah tersesat apabila gagal mencari jalan turun selama lebih sejam.

"Seorang daripada mereka menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan pada jam 6.34 petang.

"Bertindak atas maklumat, lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Labuan dan Layangan bergegas ke lokasi kejadian," katanya kepada Getaran.

image is not available
Salah seorang daripada pendaki berkenaan mengalami kecederaan dan terpaksa dibawa turun menggunakan pengusung.

Beliau berkata, seorang wanita mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dan dibawa turun menggunakan pengusung (stretcher).

"Operasi mencari dan menyelamat agak mencabar kerana hujan lebat menyebabkan struktur permukaan tanah menjadi licin, tetapi kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh pihak bomba pada jam 8.25 malam tadi.

"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Labuan bagi mendapatkan rawatan selanjutnya," katanya. - Getaran, 14 September 2021