COVID: Sarawak Kekal Tertinggi, Rekod 5,291 Kes

12 Sep 2021 • 6:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sarawak kekal merekodkan kes harian tertinggi untuk tujuh hari berturut-turut dengan 5,291 kes hari ini, berbanding 3,743 kes semalam. - Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR - Sebanyak 19,198 kes baharu COVID-19 dilaporkan di seluruh negara setakat 12 tengah hari ini, sedikit menurun berbanding 19,550 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Twitter dan Facebook memaklumkan pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di seluruh negara kini sebanyak 1,979,698 kes.

Sementara itu, Sarawak kekal merekodkan kes harian tertinggi untuk tujuh hari berturut-turut dengan 5,291 kes hari ini, berbanding 3,743 kes semalam.

Selangor pula mencatatkan kes harian kedua tertinggi iaitu 2,347 kes, diikuti Johor (2,110); Sabah (1,717); Kelantan (1,435); Pulau Pinang (1,309); Kedah (1,256) dan Perak (1,118)

Lapan negeri yang merekodkan kes harian baharu di bawah empat angka adalah Terengganu (930); Pahang (584); Kuala Lumpur (376); Melaka (340); Negeri Sembilan (283); Perlis (67); Putrajaya (32); dan Labuan (tiga).

Dr Noor Hisham turut memaklumkan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) hospital COVID-19 di seluruh negara setakat semalam ialah 78 peratus atau 1,589 manakala katil bukan ICU ialah 75 peratus (17,326). - Bernama