Melaka Tak Buka Sempadan Negeri - Sulaiman

24 Sep 2021 • 2:52 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Melaka tidak akan membuka pintu sempadan negeri kepada pelancong mulai 1 Oktober ini walaupun MOTAC telah mengumumkan pembukaannya di bawah fasa gelembung pelancongan dalam masa terdekat ini. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Melaka tidak akan membuka pintu sempadan negeri untuk pelancong bermula 1 Oktober ini seperti diumumkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Selasa lalu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali seperti dipetik portal Melaka Hari Ini berkata, aktiviti rentas negeri hanya akan dibenarkan di Melaka apabila mencapai kadar vaksinasi 90 peratus, mengikut piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pembukaan sektor pelancongan sebenarnya tidak dibuka pada 1 Oktober seperti dimaklumkan MOTAC.

“Kita tidak mahu berlaku seperti apa di Langkawi, hari pertama buka, hari kedua dah ada 36 jangkitan (COVID-19) jadi saya kata no (tidak). Kita kena lebih berhati-hati, kita tengok dulu keupayaan kita di sini dengan SOP yang lebih ketat,” katanya ketika berucap semasa menggulung perbahasan ucapan penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Rabu lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, aktiviti pelancongan skala besar dan rentas negeri akan dibenarkan apabila kadar vaksinasi seluruh negara mencecah 90 peratus.

Terdahulu, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri dalam satu kenyataan memaklumkan, pembukaan tiga destinasi pelancongan dalam tempoh terdekat ini termasuk Melaka.

Turut akan dibuka ialah Genting Highlands dan Pulau Tioman, bermula 1 Oktober depan. – Getaran, 24 September 2021