
KUALA SELANGOR, 10 SEPT: Sebanyak 170 unit Rumah Selangorku di Taman Alam Suria di sini siap dibina dan mendapat sambutan mengalakkan daripada orang awam.
EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata semua unit perumahan jenis teres satu tingkat habis terjual dan menerima permohonan melebihi 1,300.
“Dengan permohonan ini menunjukkan permintaan rumah landed (bertanah) masih ada dan Kerajaan Negeri kini melihat lokasi bersesuaian untuk memperbanyak perumahan seperti ini.
“Ini bukti kesungguhan dan komitmen pemaju IJM Land dalam menyahut usaha Kerajaan Negeri dalam menyediakan rumah mampu milik kepada golongan B40 dan M40,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis serahan kunci kepada penduduk di taman itu dengan disertai Pengurus Besar Kanan IJM Land Dato’ Hoo Kim See.
Kediaman jenis D berharga RM250,000 itu berkeluasan 900 kaki persegi yang dibina di keluasan tanah 5.08 ekar.
Untuk rekod, projek Taman Alam Suria Kuala Selangor memperolehi Lesen Pemajuan dan Permit Iklan dan Jualan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 27 Jun 2018 dan mula dibina pada 22 Februari 2019.
Sijil perakuan dan pematuhan siap (CCC) diperolehi pada 24 Mei namun proses penyerahan kunci kepada pembeli ditangguh berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa pada 1 Jun.
The post 170 unit Rumah Selangorku di Taman Alam Suria siap, habis terjual appeared first on Selangorkini.


