Minggu lalu muncul laporan skrin iPad Mini tidak bergerak secara sekata apabila ditatal. Bahagian kanan skrin bergerak lebih pantas dari kiri mengakibatkan imej yang terpapar pada skrin kelihatan seperti jeli. Isu adalah lebih ketara apabila menatal pada kedudukan mendatar dan dilakukan dengan pantas. Pelbagai teori dikeluarkan mengapa isu ini berlaku.

Menurut laporan Artstechnica, Apple telahpun mengeluarkan jawapan rasmi dan mengatakan ini ialah perkara normal pada skrin LCD yang digunakan. LCD menyegarkan semula skrin mengikut barisan dan oleh sebab itu bahagian kanan bergerak dahulu sebelum bahagian kiri. Dengan kata lain menurut Apple apa yang dialami pengguna iPad Mini ialah fitur dan bukannya masalah.
Sungguhpun begitu isu skrin jeli tidak sekata ini hanya disedari oleh sebahagian kecil pengguna majoritinya yang menggunakan peranti dengan skrin OLED dan kadar segar semula tinggi. Setelah sekian lama menggunakan peranti dengan skrin berteknologi lebih baik, perkara normal pada skrin LCD ini pasti dianggap sebagai ‘masalah’.
