Tamat Program Resepi Berani Maggi, 3 Wanita Ini Sedia Luaskan Perniagaan

7 Sep 2021 • 4:19 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Siri realiti TV ‘Resipi Berani Maggi’ yang berlangsung selama enam episod telah melabuhkan tirainya, menyaksikan semangat dan kemampuan para wanita untuk mengasah bakat bagi meluaskan perniagaan mereka.

Nur Hidayah Jefri, Bibiaminani Abdul Ghani dan Mazzaton Miza berkongsi perasaan dan pengalaman masing-masing sepanjang program ini berlangsung.

image is not available

Lebih 1000 penyertaan diterima, namun mereka merupakan antara peserta yang terpilih untuk dibimbing secara eksklusif oleh mentor yang juga merupakan selebriti dan usahawan terkenal seperti Sheila Rusly, Datin Paduka Eina Azman dan Anne Idris.

“Sebelum ini, saya senang berada di dalam zon selesa. Namun sejak pandemik, saya kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Keluarga adalah sebab utama kenapa saya melangkah ke depan dan menyertai rancangan ini. 

“Dengan bengkel yang saya hadiri, ia sebenarnya mengasah keberanian, kesabaran, minat dan kesungguhan untuk menyelesaikan setiap cabaran dan tugasan yang diberikan,” kata Miza bercerita panjang mengenai tujuan asal menyertai ‘Resipi Berani Maggi’.

image is not available

Ketiga-tiga mentor memberikan cara yang berbeza dalam berkongsi ilmu dan kemahiran kepada peserta. 

“Kalau Anne Idris, beliau mengajar kami bagaimana caranya untuk membuat perancangan perniagaan yang sesuai dengan bisnes yang kami usahakan.

“Eina Azman pula berkongsi tentang bagaimana untuk meletakkan nilai personaliti kita di dalam produk. Manakala Sheila Rusli pula berkongsi cara untuk mengimbangi antara personaliti dan juga produk yang ingin kita jual,” ujar Bibi pula.

image is not available

Bercerita tentang perancangan mereka selepas ini, ketiga-tiga mereka mempunyai impian dan perancangan besar untuk melebarkan sayap perniagaan. 

“Maggi telah memberi saya peluang serta mengajar cara untuk memasarkan produk. Oleh itu, saya akan menggunakannya untuk membesarkan perniagaan saya,” kata Hidayah yang juga sangat minat memasak dan tertarik memulakan perniagaan berasaskan makanan.

image is not available

“Saya pula ingin menggunakan ilmu media sosial untuk menjual produk dan barangan saya,” celah Miza pula yang sebelum ini pernah bekerja di sebuah syarikat komunikasi.

“Saya akan melakukan penjenamaan semula produk untuk memenangi kepercayaan pembeli,” sambung Bibi pula yang menjual perencah makanan berempah seperti masak ungkep, rendang, asam pedas, lemak cili padi dan sebagainya.

image is not available

Mereka turut menggalakkan wanita di luar sana untuk mengejar impian masing-masing dan jangan berputus asa. 

“Saya hanya mempunyai RM50 semasa mula-mula berniaga. Saya buat salah dan saya belajar dari kesilapan itu. Jadi, jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru,” kata Bibi sebelum menutup temu ramah. - Getaran, 7 September 2021

Gambar: Ihsan Maggi