Kerajaan diseru bantu negeri perbanyak program vaksin

26 Sep 2021 • 8:06 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

PETALING JAYA, 26 SEPT: Kerajaan pusat perlu membantu negeri menambah bilangan program vaksin Covid-19 kerana permintaannya masih tinggi, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan.

Elizabeth Wong berkata jumlah 700 dos menerusi Program Vaksin Selangor (Selvax) yang diadakan di Dewan Komuniti Damansara Damai semalam tidak cukup jika dibanding sambutan orang ramai sejak pagi.

“Ini juga satu isu kita dapat lihat setiap hari kerajaan pusat keluarkan data bahawa Selangor dan Kuala Lumpur sudah lebih 100 peratus orang dapat vaksin tetapi saya rasa ia tidak tepat.

“Tengok hari ini (semalam) ada yang beratur sampai satu kilometer maksudnya masih ada sambutan dan ramai tidak dapat vaksin. Kerajaan Negeri sudah tampung banyak beban untuk pastikan ramai dapat vaksin jadi kerajaan pusat perlu laksana program seperti ini untuk bantu,” katanya.

Beliau berkata di Damansara Damai sahaja terdapat 100,000 penduduk dan jika hanya 10 peratus tidak mendapat vaksin ia akan merisikokan individu yang lain.

“Kita memerlukan program seperti ini secara berterusan dan tidak boleh berhenti selepas mencapai 90 peratus individu divaksin. Kita perlu 100 peratus, kerajaan pusat perlu bantu,” katanya.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Inisiatif itu dibuat secara berperingkat antaranya membabitkan DUN Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali dan Hulu Bernam.

Program tersebut terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing dengan membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

The post Kerajaan diseru bantu negeri perbanyak program vaksin appeared first on Selangorkini.