Hujan Lebat Berterusan, Shah Alam Dilanda Banjir Kilat

27 Sep 2021 • 10:31 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hujan lebat selama hampir 3 jam telah mengakibatkan banjir di kawasan sekitar Seksyen 13, Shah Alam, semalam. - Gambar ihsan Bomba

KUALA LUMPUR - Hujan lebat selama hampir tiga jam yang melanda Seksyen 13, Shah Alam mengakibatkan lokasi tersebut dilanda banjir kilat petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, insiden itu menyebabkan kawasan sekitar Stadium Seksyen 13 dinaiki air setinggi 1.2 meter.

Katanya, bomba turut menerima laporan sebuah kenderaan terkandas dalam banjir terbabit, namun pemandunya berjaya keluar dan menyelamatkan diri.

“Kami menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 5.09 petang sebelum mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam ke lokasi kejadian untuk mengawal keadaan.

“Setakat ini tiada laporan ada mangsa yang cederaa mahu pun kehilangan nyawa dalam kejadian ini,” katanya.

Norazam berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa air banjir sudah pun mulai surut namun anggota masih ditempatkan di lokasi untuk memantau keadaan supaya tiada kejadian tidak diingini.

Difahamkan, selain Seksyen 13, penduduk sekitar Seksyen 9, Seksyen 10, Seksyen 4, Seksyen 7 turut mengalami nasib sama namun suasana dilaporkan terkawal. – Getaran, 27 September 2021