Samsung Dilaporkan Sedang Mempertimbangkan Semula Pelancaran Galaxy S21 FE

TechnologyDigital
27 Sep 2021 • 11:19 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Samsung kini dilaporkan telah pun membatalkan acara pelancaran “Unpacked” untuk Samsung Galaxy S21 FE, selain pada masa yang sama diperkatakan sedang mempertimbangkan semula pelancaran telefon pintar berkenaan.

Mengikut desas-desus dan info tertiris sebelum ini, Galaxy S21 FE (Fan Edition) dikatakan akan dilengkapi Snapdragon 888, selain menawarkan harga yang lebih kompetitif berbanding siri Galaxy S21 – lebih kurang seperti “Fan Edition” sebelum ini.

image is not available

Pada awalnya, Samsung dijangka memperkenalkan Galaxy S21 FE pada pertengahan Oktober, tetapi kini ia telah dibatalkan. Perkara ini sekaligus membawa kepada tanda tanya sama ada Galaxy S21 FE akan dipasarkan, atau dibatalkan sepenuhnya.

Salah satu sebab Samsung mempertimbangkan untuk membatalkannya adalah kerana kejayaan Galaxy Z Flip 3 yang menerima permintaan tinggi – sekaligus membawa kepada kekangan dari segi komponen untuk pengeluarannya.

Dengan membatalkan Galaxy S21 FE, cip dan sebagainya boleh digunakan untuk pengeluaran Galaxy Z Flip 3.

Seperti biasa, sama-sama kita nantikan sama ada pihak Samsung akan melancarkan peranti ini atau sebaliknya.