
SHAH ALAM, 29 SEPT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengarahkan wakil premis ternakan ayam berhampiran Sungai Lui, Hulu Langat menyelenggara laluan pelepasan sisa dan kolam bagi mengelak pencemaran sungai berkenaan.
Menurut agensi itu di Facebook, tindakan berkenaan susulan aduan orang ramai mengenai aktiviti pembuangan sisa kumbahan penternakan ayam di situ pada 24 September lalu.
Siasatan dan pemantauan mendapati premis berkenaan tidak tertakluk di bawah Aktiviti Berjadual LUAS kerana jumlah ternakan kurang daripada 20,000 ekor dan dijalankan di atas tanah persendirian.
“Wakil premis telah diarahkan untuk menjalankan penyelenggaran di laluan pelepasan di laluan pelepasan efluen dan kolam serta menutup semua lubang yang boleh mengakibatkan efluen keluar ke kawasan yang berhampiran,” maklum agensi itu di Facebook.
Sehubungan itu, LUAS meminta orang ramai melaporkan segera sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar insiden pencemaran dapat dielakkan.
The post LUAS arah premis ternak ayam dekat Sungai Lui selenggara laluan sisa kumbahan appeared first on Selangorkini.
