Sektor Pelancongan Melaka Dijangka Beroperasi Oktober

9 Sep 2021 • 9:22 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Muhammad Jailani menunjukkan sijil suntikan vaksin COVID-19 yang diserahkan kepada pemain industri pelancongan.

MELAKA TENGAH - Melaka sedia membuka semula industri pelancongan selepas 95 peratus penggiat industri sudah melengkapkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pihaknya menjangkakan sektor pelancongan Melaka akan dapat dibuka sepenuhnya pada Oktober sejurus beralih kepada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau berkata, sehingga kini 42,587 daripada jumlah keseluruhan pemain industri pelancongan sudah menerima suntikan vaksin, manakala lima peratus lagi masih menunggu tarikh temu janji.

“Kita jangka Melaka akan mencapai Fasa 3 PPN bulan depan dan sekarang kita merangka persiapan, dengan fokus utamanya pelancongan domestik.

“Jika berjaya menjelang Disember, kita akan sediakan satu lagi pakej istimewa yang saya yakin akan menghidupkan kembali industri pelancongan Melaka,” katanya.

Muhammad Jailani berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Pengesahan Dos Suntikan Vaksin Lengkap kepada penggiat industri pelancongan Melaka di Seri Negeri, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya menjangkakan sektor ekonomi termasuk pelancongan kembali dibenarkan beroperasi pada masa segera, malah Melaka juga sudah bersedia sepenuhnya, apatah lagi 80 peratus daripada pemain industri juga sudah melengkapkan dos vaksin masing-masing.

“Sebelum ini, 120 premis pelancongan di Melaka sudah menerima sijil berkenaan dan langkah ini adalah inisiatif bagi memberikan jaminan, bahawa pekerja dalam sektor pelancongan sudah menerima suntikan vaksin lengkap.

“Kerajaan negeri berbangga apabila Melaka menjadi negeri pertama yang 100 peratus patuh dan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 bagi premis pelancongan di peringkat kebangsaan,” katanya. - Getaran, 9 September 2021