Amazon Memperkenalkan Robot Pintar Untuk Rumah – Astro

TechnologyDigital
29 Sep 2021 • 6:42 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Amazon sedia menawarkan sejumlah peranti pintar untuk digunakan di rumah, yang hadir dengan integrasi pembantu maya Alexa. Namun, bagaimana sekiranya peranti berkenaan boleh bergerak mengelilingi rumah, dan mengawasi rumah anda.

Untuknya, kini Amazon memperkenalkan Astro, sebuah robot pintar untuk rumah.

image is not available

Astro hadir dengan sokongan Alexa, sekaligus boleh melakukan pelbagai perkara yang sedia boleh dilakukan oleh peranti-peranti Amazon Echo.

Melengkapkannya juga adalah sepasang roda yang membuatkan Astro boleh mengelilingi rumah. Ia turut boleh mengimbas rumah supaya ia boleh bergerak tanpa masalah atau melanggar sebarang perabot.

Astro turut boleh memantau dan memastikan rumah sentiasa selamat. Sebagai contoh, ia boleh memaklumkan anda sekiranya tidak menutup dapur dan sebagainya – sekaligus mengelak kebakaran.

Astro hadir dengan sebuah skrin 10.1-inci dengan sokongan sentuh, selain bateri yang boleh dicas penuh dalam masa 45 minit. Pengecasan penuh bateri mampu memberikan keupayaan untuk bergerak sekitar 2 jam, sebelum ia kembali ke pusat pengecasan secara automatik.

Buat masa ini, Astro ditawarkan secara terhad di Amerika Syarikat oleh Amazon, pada harga $999, iaitu sekitar RM4182.