Cubaan ‘Jump Start’ Bot Gagal, 4 Peniaga Melecur Disambar Api

20 Oct 2021 • 5:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Salah seorang daripada mangsa dibantu oleh seorang anggota Akgkatan Tugas Bersama 2 selepas diselamatkan.

SANDAKAN - Empat warga tempatan melecur selepas bot yang mereka naiki terbakar dalam satu kejadian di Pulau Billean, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, keempat-empat mangsa sedang berlindung di pulau berkenaan ekoran hujan lebat dan bot yang dinaiki mengalami masalah.

Ketika cuba menghidupkan pam air dengan menggunakan teknik ‘jump start’, bot berkenaan tiba-tiba terbakar dan api menyambar mangsa.

Jurucakap Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berkata, kebakaran tersebut memaksa bot itu dibiarkan hanyut ke Pulau Tegipil yang terletak berhampiran.

“Detasmen Bot Sandakan dan Tim Quick Reaction Force (QRF) bergegas ke lokasi bagi memberikan bantuan sebaik menerima maklumat.

“Mangsa difahamkan sedang dalam perjalanan ke Kudat dari Sandakan bagi menguruskan perniagaan sangkar ikan. Walau bagaimanapun, mereka terpaksa berlindung di pulau berkenaan ekoran hujan lebat, apabila mengalami masalah bot,” katanya.

Menurut jurucakap itu, mereka memberi bantuan segera dan membawa keempat-empat mangsa ke Pulau Lankayan menggunakan bot milik Reef Guardian.

“Kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada Detasmen Bot Sandakan ATB 2 untuk dibawa ke Sandakan menggunakan bot Viper 7 bagi menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent (HDOK),” katanya. - Getaran, 20 Oktober 2021