
SHAH ALAM, 15 OKT: Kebanyakan kawasan yang terbabit dengan kerja naik taraf aset loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 menerima bekalan air tengah hari ini.
Wilayah Hulu Selangor pulih sepenuhnya, Kuala Selangor (99.4 peratus), Shah Alam (94.2 peratus), Petaling (89.8 peratus) sementara Kuala Langat dapat bekalan hingga 85.7 peratus.
“Sehingga jam 12 tengah hari ini, pemulihan bekalan air di 998 kawasan yang terjejas telah mencapai tahap 68 peratus,” kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Wilayah Gombak pulih 65.5 peratus, Kuala Lumpur (38.6 peratus) sementara Klang mencapai 16.8 peratus.
Air Selangor menambah tempoh pemulihan bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.
Ia turut menasihatkan pengguna yang menerima bekalan menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan lain berjalan lancar.
Maklumat terkini dimaklumkan melalui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram dan laman sesawang hentitugas.airselangor.com.
Demi keselesaan pengguna, Air Selangor menyelenggara aset kritikal Rabu lalu setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

The post Banyak dapat bekalan air semula, Hulu Selangor pulih sepenuhnya appeared first on Selangorkini.
