Pernah tolak vaksin, pasangan guru tahfiz terima suntikan demi keselamatan

7 Oct 2021 • 11:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

HULU SELANGOR, 7 OKT: Pasangan suami isteri yang juga guru agama dari sebuah maahad tahfiz di Klang menyarankan lebih ramai individu mengambil suntikan dos vaksin.

Muhammad Ridwan Syahadan, 46, yang hadir bersama isterinya Mirna Rosiyan, 45, berkata mereka pernah mengelak untuk menerima pelalian itu kerana khabar angin seolah-olah vaksin memudaratkan.

image is not available
Muhammad Ridwan Syahadan

“Sebelum ini kami ragu-ragu kerana banyak sangat berita kurang menyenangkan tetapi selepas menghadapi beberapa situasi sukar antaranya tidak boleh ke sekolah untuk mengajar.

“…menyebabkan kami berubah fikiran dan setuju divaksinasi. Alhamdulillah selepas dos pertama tiada sebarang kesan sampingan. Saya harap lebih ramai individu dan guru di bawah Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) terutamanya mengambil vaksin demi keselamatan diri dan orang sekeliling,” katanya.

image is not available
Mirna Rosiyan

Pasangan itu antara 608 penerima dos pelalian di bawah program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali hari ini.

image is not available
Masatin Tumiyati

Selain itu, Masatin Tumiyati, 47, berkata beliau bersyukur akhirnya lengkap dos vaksin dan berharap dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Selepas ini saya dapat kembali mengajar di tadika dengan lebih yakin dan selamat. Terima kasih Kerajaan Selangor semoga inisiatif ini diteruskan,” katanya.

image is not available
Agus Selamat Hariyanto

Manakala, Agus Selamat Hariyanto, 41, berkata dia mengambil vaksin kerana rindukan anak dan isterinya di Indonesia yang hampir dua tahun tidak bertemu.

“Saya terlalu rindukan mereka, saya percaya tidak lama lagi kerajaan membenarkan merentas ke luar negara bagi individu yang lengkap divaksin,” katanya yang bekerja sebagai buruh.

The post Pernah tolak vaksin, pasangan guru tahfiz terima suntikan demi keselamatan appeared first on Selangorkini.