Akaun Twitter KJ Paling Popular, Najib Di Tangga Keempat

16 Oct 2021 • 3:53 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Khairy Jamaluddin - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menduduki tangga teratas sebagai antara 50 pemilik akaun Twitter paling popular di negara ini.

Berdasarkan kajian dan data Politweet, jumlah pengikut dan capaian @Khairykj mencecah sehingga 28.02 peratus pengguna Twitter di negara ini.

Politweet merupakan sebuah firma penyelidikan yang membuat kajian mengenai media sosial di Malaysia.

Setakat hari ini, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau memiliki 2.7 juta pengikut di platform media sosial itu.

Umum mengetahui beliau amat aktif di Twitter sejak 2009 lagi.

Senarai tersebut menjadi tular selepas dikongsi beberapa netizen di Twitter hari ini.

Menduduki tangga kedua adalah akaun Kementerian Kesihatan(@KKMPutrajaya) yang diterajui Khairy sejak 30 Ogos lalu dengan 1.6 juta pengikut.

Tidak ketinggalan, Astro Awani @501Awani sebagai akaun Twitter ketiga paling popular di Malaysia.

Turut mencuri tumpuan, akaun Twitter bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menduduki tangga keempat dan diikuti akaun Twitter Instagram di tempat kelima.

Akaun Twitter Najib memiliki 4.2 juta pengikut dan mencapai sehingga 24.92 peratus pengguna platform media sosial itu di negara ini.

Sementara itu, pengacara dan usahawan terkenal, Neelofa, pula berada di kedudukan keenam manakala pelakon Zizan Razak, di tangga ke-10.

Bagi kategori tanda pagar paling popular, AWANInews mengungguli tangga teratas, diikuti Paralympics dan BluesClues25 di tempat ketiga.

Berdasarkan data Politweet sehingga September itu, tanda pagar MUFC pula berada di kedudukan keempat manakala COVID-19 di tempat kelima popular.

Tidak dilupakan, tanda pagar SquidGame menguasai kedudukan keenam dengan 4.91 peratus penggunaannya di Twitter. - Getaran, 16 Oktober 2021