Kampung Pasir Kelang, Kuala Krai dikenakan PKPD

4 Oct 2021 • 5:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SHAH ALAM - Satu lokaliti di Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa pada Rabu hingga 19 Oktober ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, lokaliti tersebut membabitkan sebahagian Kampung Pasir Kelang, Kuala Krai.

“Setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19, PKPD akan dilaksanakan di lokaliti berikut.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

image is not available

Dalam pada itu, beliau berkata, PKPD melibatkan lokaliti di Ladang dan Kilang Sawit RMDC Sdn Bhd, Raub, Pahang akan dilanjutkan sehingga 19 Oktober ini.

Bagaimanapun, katanya, PKPD membabitkan Kampung Garib, Matunggong, Kudat, Sabah akan ditamatkan pada Selasa seperti yang dijadualkan.

“Selain itu, empat lokaliti di Pahang turut ditamatkan iaitu Kampung Dusun Pak Senam, Lipis, Felda Rentam, Felda Tementi dan Felda Sebertak, Bera.

“Setelah meneliti pembentangan oleh KKM mengenai situasi semasa, PKPD akan ditamatkan di lokaliti tersebut,” ujar beliau.