Ibu bapa, anak terima suntikan vaksin serentak di program Selvax

30 Oct 2021 • 3:51 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

PETALING JAYA, 30 OKT: Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti dan Remaja yang diadakan di Flora Damansara hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa yang belum menerima pelalian.

Ketua pusat pemberian vaksin (PPV) Muhammad Aideed Idris berkata golongan dewasa mengambil kesempatan itu selepas membawa anak masing-masing untuk menerima suntikan bagi remaja.

image is not available
Ketua PPV Muhammad Aideed Idris

“Terdapat kurang 10 keluarga yang berbuat demikian iaitu ibu bapa menerima suntikan vaksin bersama anak-anak.

“Jadi saya berharap ibu bapa yang belum menerima vaksin boleh bersama anak-anak untuk program Selvax yang akan diadakan di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang esok,” katanya.

Muhammad Aideed menambah sebanyak 600 dos vaksin jenis Sinovac disediakan hari ini di mana setakat tengah hari tadi hampir 300 dos telah diberikan.

“Sambutan amat menggalakkan di mana ada yang mulai beratur seawal jam 7.30 pagi,” katanya.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.