Taman Botani pilihan lokasi riadah setelah lama terkurung akibat PKP

9 Oct 2021 • 12:37 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 9 OKT: Pembukaan semula Taman Botani Negara di sini sejak kelmarin dimanfaatkan ibu bapa untuk membawa anak-anak beriadah di luar.

Kemudahan khusus untuk individu lengkap vaksin menyaksikan pengunjung mematuhi arahan aktiviti pelancongan fasa tiga Pelan Pemulihan Negara.

Salah seorang pengunjung, Fariza Ahmad Tamizi, 36, berkata Taman Botani antara lokasi pilihan keluarganya untuk membuat aktiviti luar dan berbasikal melihat pemandangan hijau.

image is not available
Fariza Ahmad Tamizi

Suri rumah yang menetap sekitar Shah Alam itu lebih selesa memilih hari bekerja bagi mengelak kesesakan pada hujung minggu selain bimbang jangkitan Covid-19.

“Apabila mengetahui Taman Botani dibuka, saya membuat keputusan membawa anak, ibu dan sepupu. Saya pilih hari bekerja untuk elak kesesakan hujung minggu kerana masih khuatir kes Covid-19,” katanya.

Ahmad Shukri Rahmal, 37, pula berkata anak-anaknya teruja apabila dibawa keluar setelah sekian lama terkurung akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mereka sudah terlalu lama berkurung sejak PKP. Apabila dapat berjalan di Taman Botani ia memberi suasana baharu kepada anak-anak,” kata pekerja swasta itu.

Mujahid Ismail, 20, yang juga seorang pelajar di institusi pengajian tinggi mengambil peluang berkumpul dan berbasikal bersama rakan setelah lama tidak berjumpa.

image is not available
Mujahid Ismail

“Kami sudah lama tidak berjumpa sejak PKP dan hanya berinteraksi melalui media sosial. Apabila jumpa kawan-kawan dapat juga hilangkan tekanan kerana baru habis semester satu,” katanya.

Taman Botani Negara Shah Alam berkeluasan 817 hektar yang ditutup sejak Jun lalu dibuka semula kepada orang ramai selaras tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Antara lokasi tumpuan di situ ialah Taman 1Malaysia, Taman Herba dan Taman Haiwan.

 

The post Taman Botani pilihan lokasi riadah setelah lama terkurung akibat PKP appeared first on Selangorkini.