Anwar Ulas Berkenaan Pembiayaan Luar Belanjawan Esok

Politics
31 Oct 2021 • 3:37 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar Ibrahim

PORT DICKSON - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengulas mengenai Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat esok, termasuk isu pembiayaan luar belanjawan  atau ‘off budget’ yang menjadi tanggungan kerajaan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson juga menggesa supaya kerajaan memperincikan semua Belanjawan 2022 berjumlah RM332.1 bilion yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.

“Mengenai isu belanjawan, saya akan ulas esok terutama apa yang disebut sebagai off budget, ya kita bincang belanjawan tetapi ada belanja puluh bilion yang off budget, umpama contoh lama 1MDB, itu off budget tapi menjadi tanggungan kerajaan.

“Seperti mana yang kita dedahkan dalam kertas Pandora, sekiranya kita tidak teliti, maka ia akan berlarutan. Jadi perkara ini saya akan ulas esok sebelum tengah hari,” katanya kepada media. 

Beliau menyatakan demikian selepas pemberian sumbangan bakul makanan sempena Deepavali untuk penduduk di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah di sini.

Terdahulu, Anwar berkata, semua ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menentang sekiranya Bajet 2022 yang dibentangkan itu tidak menyentuh perbelanjaan luar bajet (off-budget) termasuk mengenai moratorium pinjaman bank.

Antara perkara lain yang akan diberi tumpuan adalah kedudukan Lapangan Terbang Subang yang menimbulkan keraguan.

Tambah beliau, PH tidak mahu perkara itu disorok kerajaan memandangkan ia merupakan perbelanjaan di luar bajet. - Getaran, 31 Oktober 2021.