Cubaan Seludup Gagal, 2,300 Cecair Vape Dirampas

13 Oct 2021 • 10:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sebanyak 2,300 botol cecair vape bernilai RM230,000 dirampas oleh PGA7 di pangkalan haram Tebu, Lubok Gong, Rantau Panjang, hari ini

RANTAU PANJANG - Tindakan dua lelaki yang cuba menyeludup cecair vape ke negara jiran, Thailand, gagal apabila aktiviti mereka dapat dikesan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) hari ini.

Dalam operasi jam 4 pagi itu, PGA7 merampas sebanyak 2,300 botol cecair vape bernilai RM230,000 di pangkalan haram Tebu, Lubok Gong, di sini.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, pasukan operasi membuat rondaan bermotosikal sebelum terserempak dengan dua lelaki yang sedang memunggah kotak ke dalam bot dalam keadaan mencurigakan 

Katanya, kedua-dua lelaki itu bertindak melarikan diri ke seberang Thailand dengan menggunakan perahu sebaik didekati anggota PGA.

"Anggota bertugas menunggu selama 30 minit, tetapi tidak ada individu yang datang menuntut barangan berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati, kotak itu mengandungi cecair vape pelbagai perisa.

"Kesemua cecair vape ini kemudian dirampas untuk dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang bagi siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM). 

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952," katanya hari ini.

image is not available
Beberapa kotak mengandungi vape yang cuba diseludup ke negara jiran.

Menurut Azhari, penyeludupan cecair vape ke negara jiran mendapat permintaan yang tinggi di negara itu kerana harga ditawarkan lebih mahal berbanding di Malaysia.

Difahamkan, Thailand mengharamkan penggunaan vape di negaranya menyebabkan penyeludup memilih cara haram untuk mendapatkan bekalan.

"Penyeludup mengambil risiko dengan membawa keluar cecair vape secara haram, namun pihak kami sentiasa peka dengan mengenal pasti strategi mereka bagi membanteras aktiviti penyeludupan itu," katanya. – Getaran, 13 Oktober 2021