Belanjawan 2022 Sarawak Bantu Komuniti Perniagaan

LocalPolitics
13 Oct 2021 • 7:23 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Unjuran pendapatan Sarawak daripada hasil bukan cukai adalah kira-kira RM4 bilion. - Gambar Bernama

SIBU - Langkah kerajaan Sarawak mengemukakan Belanjawan Negeri 2022 yang dijangka mengalami defisit RM610 juta akan memberi ruang kepada komuniti perniagaan untuk kembali pulih ketika negeri itu masih menghadapi pandemik COVID-19.

Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak, Dr Annuar Rapaee berkata sekiranya kerajaan Sarawak mengambil sikap berjimat cermat dalam perbelanjaannya pada tahun hadapan, tidak banyak projek akan dijalankan dan ini tidak akan mendatangkan manfaat kepada peniaga, kontraktor ataupun rakyat.

“Jadi bajet defisit pada kali ini adalah bertepatan, masa yang betul untuk dilaksanakan untuk memudahkan rakyat mendapat lebih banyak pendapatan. Sebab itu kerajaan berbelanja lebih,” katanya semasa mengulas belanjawan yang diumumkan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, hari ini.

Abang Johari mengumumkan belanjawan berjumlah RM10.136 bilion bagi 2022 berikutan kerajaan negeri akan memberi tumpuan membantu rakyat dalam situasi kesan daripada pandemik COVID-19.

Unjuran pendapatan Sarawak daripada hasil bukan cukai kira-kira RM4 bilion menunjukkan negeri ini mempunyai kelestarian daripada segi ekonominya dan tidak bergantung secara langsung kepada pendapatan daripada hasil cukai, kata Annuar. - Bernama