Maritim Labuan Tumpas Sindiket Seludup Minuman Keras

31 Oct 2021 • 8:25 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anggota APMM Labuan memeriksa bot yang mengandungi minuman keras yang ditinggalkan oleh penyeludup bagi mengelak ditangkap di perairan Mempakul, Sabah.

LABUAN - Seorang suspek penyeludupan minuman keras bertindak nekad meninggalkan bot yang sarat berisi produk itu, semata-mata untuk mengelak daripada ditahan pihak berkuasa. 

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan, Kapten Maritim Nudin Jusoh berkata, bot itu dikesan dalam keadaan mencurigakan di perairan Mempakul, Sabah pada jam 1 pagi, hari ini. 

Beliau berkata, suspek yang menyedari kehadiran pihaknya kemudian bertindak memecut ke daratan.

"Suspek nekad terjun untuk menyelamatkan diri dan meninggalkan bot yang tersadai di kawasan paya bakau sekitar 0.45 batu nautika barat laut Pulau Belangkas, Sabah. 

"Pemeriksaan menemui sebanyak 1,680 tin minuman keras tidak bercukai disorokkan menggunakan kanvas biru. Kita percaya minuman keras ini diseludup keluar dari Labuan," katanya hari ini.

Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot serta enjin mencecah RM40,000 dan kesemua barangan itu dibawa ke Maritim Labuan untuk siasatan selanjutnya. 

"Gerakan mengesan dan memburu suspek akan dijalankan berdasarkan hasil siasatan yang dilakukan. 

"Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967," katanya. - Getaran, 31 Oktober 2021.