Rumah dijadikan sarang pelacuran

30 Oct 2021 • 4:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUALA LUMPUR - Seramai enam wanita warga asing ditahan dalam Ops Noda kerana disyaki terlibat aktiviti pelacuran di sebuah kediaman di Pusat Bandar Utara, Jinjang di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam serbuan jam 9.30 malam itu, kesemua suspek berusia lingkungan 26 hingga 48 tahun dipercayai menjadikan premis tersebut sebagai sarang pelacuran.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati modus operandi kegiatan ini berselindung di sebalik rumah persendirian dan mereka dipercayai baru sahaja beroperasi sejak dua minggu lepas.

"Polis berjaya merampas wang tunai anggaran RM200, kondom pelbagai jenama, sebuah tablet warna hitam, sebuah perakam digital, minyak urut dan minyak pelincir," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam aktiviti pelacuran dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan penyalahgunaan permit pekerjaan.