
SHAH ALAM, 7 OKT: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) akan memberi keutamaan kepada premis kritikal di kawasan terjejas susulan gangguan bekalan air bermula 13 Oktober ini.
Agensi itu menerusi kenyataan hari ini memaklumkan antara premis tersebut yang akan diberi tumpuan untuk penyaluran bekalan air itu adalah hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Sepanjang kerja pemulihan itu, sebanyak 105 lori tangki air akan digerakkan ke kawasan terjejas serta 18 pili air awam mulai 14 hingga 16 Oktober untuk kemudahan pelanggan di sepanjang tempoh berkenaan.
Manakala pelanggan komersial pula boleh membeli bekalan menggunakan lori tangki masing-masing di empat stesen pengisian air setempat dengan pembayaran di 10 kaunter khidmat pelanggan Air Selangor.
Kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal menyebabkan henti tugas Logi Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) yang menjejaskan bekalan di 998 kawasan di wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor mulai 9 pagi 13 Oktober dan dijangka pulih sepenuhnya pada 9 malam 16 Oktober.
Senarai lengkap kawasan terjejas, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan hentitugas.airselangor.com
Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung perkara itu dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagran dan Twitter atau hubungi agensi itu di talian 15300.
Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Pusat Bantuan di lawaman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
The post Air Selangor tumpu salur bekalan ke premis kritikal appeared first on Selangorkini.
