
KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju memberikan diskaun antara 10 sehingga 15 peratus bagi bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Perkara itu diumumkan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa sesi pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, diskaun tersebut akan diberikan bermula 1 November ini hingga 30 April tahun depan.
“Sebagai peminjam, semestinya ia satu amanah yang wajib dibayar semula oleh peminjam. Jika tidak, ia menafikan peluang anak-anak kita pada masa hadapan.
“Kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bagi memudahkan proses bayaran balik dan memupuk sikap bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata peminjam yang menyelesaikan bayaran penuh pinjaman akan diberi diskaun sebanyak 15 peratus, manakala diskaun 12 peratus akan diberikan kepada peminjam yang melunaskan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.
Peminjam yang membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual pula akan diberi diskaun sebanyak 10 peratus, katanya ketika membentangkan Bajet 2022. - Getaran, 29 Oktober 2021
